Selasa, 06 Januari 2009

Hubungan Indonesia-Malaysia

HUBUNGAN DUA BANGSA SERUMPUN: DULU, KINI DAN CABARAN MASA DEPAN


Bismillah ar-Rahman ar-Rahim,

Assalamui’alaikum warahmatullah wabarakatuh,

Hadirin yang saya muliakan,

Pertama-tama saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada Jabatan Perhubungan Alumni Universiti Sains Malaysia dan seluruh sivitas akademika universiti ini, yang telah menjemput saya untuk menyampaikan syarahan umum dengan tajuk Hubungan Dua Bangsa Serumpun, Dahulu, Kini dan Cabaran Masa Depan. Telah enam belas tahun lamanya saya meninggalkan USM, akhir sekali ketika saya mempertahankan tesis PhD di bidang sains politik di universiti ini pada tahun 1992. Selepas menamatkan pengajian saya kembali ke Jakarta dan kemudian dilantik menjadi mahaguru dalam Undang-Undang Perlembagaan pada Fakulti Undang-Undang, Universiti Indonesia. Tiga tahun kemudian saya mula aktif dalam pergerakan politik dan ikut menjadi salah seorang pengasas Parti Bulan Bintang, sebuah parti modenis berasaskan Islam. Saya menjadi presiden pertama parti itu dan sekarang telah digantikan oleh Menteri Kehutanan MS Kaban.

Selepas pilihanraya 1999, saya dilantik menjadi ahli Dewan Rakyat. Tiga kali saya menjadi ahli kabinet, memegang jawatan sebagai Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia dan terakhir sebagai Menteri Setiausaha Negara. Oleh itu, dalam kurun masa lebih kurang sepuluh tahun terakhir saya lebih banyak menangani persoalan-persoalan undang-undang dan politik di Indonesia, dibandingkan dengan menekuni dunia akademik. Namun sesekali saya kembali ke universiti untuk mengajar, agar saya sentiasa ingat dengan asal-sul saya. Saya berpendapat bahawa seorang ahli politik haruslah memiliki minat intelektual yang besar, agar politik tidak sekedar menjadi permainan kekuasaan belaka. Pemikiran akademik dan pemikiran intelektual pada umumnya, mestilah sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam mengambil setiap keputusan politik.

Hadirin yang saya muliakan,

Sekarang kita tengah hidup dalam suatu zaman yang penuh dengan perubahan. Perubahan yang berlaku pada setiap zaman, sesungguhnya adalah hal yang biasa dan telah menjadi Sunnah Allah, oleh kerana sifat dinamik dalam kehidupan masyarakat umat manusia. Pepatah lama yang mengatakan bahawa adat takkan lekang terkena panas dan takkan lapuk tersiram hujan, dalam realititidaklah berasas. Adat resam sesebuah masyarakat juga bersifat dinamik mengikuti arus perubahan zaman. Kepercayaan-kepercayaan lama mengalami perubahan pula. Keris pusaka datuk saya yang dahulu selalunya diasap dengan dupa dan kemenyan setiap malam Jumaat, sekarang ini hanya menjadi perhiasan dinding belaka, tanpa makna mistik seperti di zaman lampau. Cara kita melihat diri kita dan persekitaran kitapun terus-menerus mengalami perubahan.

Perubahan-perubahan besar yang berlaku di dunia ini, akan mendorong tiap-tiap bangsa untuk berlumba-lumba memajukan dirinya, mengejar ketertinggalannya dari bangsa-bangsa lain. Mereka saling belajar dan bahkan saling “mencuri” rahsia keunggulan masing-masing agar mereka bertambah maju lagi. Semua ini mereka lakukan dengan sedar, sebab apabila suatu bangsa tertinggal baik di bidang sains dan teknologi, sosial, ekonomi dan politik, maka dengan amat mudahnya mereka dikuasai, dikendalikan dan bahkan dipermainkan oleh bangsa-bangsa lain yang lebih maju. Inilah undang-undang besi sejarah yang terus berlaku sehingga sekarang dan bahkan di masa depan. Selamat umat manusia masih ada di dunia yang fana ini, selama itu pulalah perlumbaan antara bangsa-bangsa-bangsa itu akan sentiasa berlaku. Orang Melayu di Indonesia dan Malaysia hendaknya jangan melupakan sejarah. Di masa yang lampau, mereka telah menjadi bangsa yang terjajah, dihinakan dan direndahkan oleh tuan kulit putih yang menjajah mereka. Kita menjadi bangsa terjajah disebabkan kesalahan, kedhaifan dan bahkan kebodohan kita sendiri. Dewasa ini penjajahan model lama sudah ditamatkan, namun penjajahan model baru, yakni penguasaan sumber-sumber alam dan pelbagai pelbagai aktivisi perniagaan berskala antarabangsa, penguasaan sumbers-umber kewangan, dan penggunaan pengaruh kekuatan politik untuk menekan bangsa-bangsa yang lemah, tetap berlaku. Kapitalisme belumlah mati. Paham ini mengalami metamorfosa ke dalam bentuk yang baharu, yang jikalau suatu bangsa tidak siap menghadapinya, mereka boleh terjejas oleh bangsa-bangsa dan negara-negara yang lebih kuat.

Semenjak zaman penjajahan, para pendahulu kita telah berjuang dengan susah-payah untuk menjadikan kedua-dua bangsa kita menjadi bangsa yang merdeka. Kita ingin merdeka kerana kita mahu menjadi tuan di negeri kita sendiri. Kita tidak boleh menjadi tetamu di rumah kita sendiri. Ini samasekali bukan kerana kita memiliki semangat ashabiyah dengan perasaan taasub yang melampau, kerana sejarah telah menunjukkan bahawa kita sentiasa terbuka untuk menerima kedatangan bangsa-bangsa lain, dan hidup berdampingan secara damai dengan mereka. Kitapun semenjak lama telah mengenal erti dan makna penting perhubungan antarabangsa. Apa yang kita mahukan ialah, kita berdiri sama tegak, duduk sama rendah bersama bangsa-bangsa lain. Namun semua ini akan menjadi mustahil belaka, apabila kita berada dalam keadaan serba dhaif, apalagi memiliki mentaliti suka merendah dan selalu meminta pertolongan bangsa-bangsa lain. Tidak akan ada bangsa-bangsa lain yang akan bermurah-hati menolong bangsa kita. Hanya bangsa kitalah yang boleh membantu dan menyelesaikan masalah-masalah yang kita hadapi. Kalaupun ada pertolongan dari bangsa-bangsa lain, semua itu bukanlah percuma. Mereka yang datang untuk menolong memberikan syarat-syarat tertentu, yang pada akhirnya membuat mereka memperolehi keuntungan yang lebih besar berbanding kita sendiri.

Indonesia dan Malaysia adalah dua negara jiran yang sangat berdekatan. Kedua-dua bangsa mempunyai akar persamaan di bidang etnik dan budaya, iaitu etnik dan budaya Melayu. Berbagai etnik yang ada di Indonesia, entah itu dari Jawa, Sunda, Minangkabau, Bugis, Ternate dan semuanya, sepanjang mereka memeluk agama Islam — yang kini telah membentuk sebuah bangsa, yakni bangsa Indonesia — selalu menyebut diri mereka Melayu jika berhadapan dengan bangsa-bangsa lain. Melayu lebih merupakan sebuah konsep identiti dalam makna budaya, bahasa dan agama. Semua etnik di Indonesia menyadari dengan sungguh-sungguh bahawa Bahasa Indonesia yang sekarang telah menjadi bahasa resmi dan bahasa persatuan, asalnya adalah bahasa Melayu. Menyebut diri Melayu berarti mereka menempatkan diri dalam suatu kelompok yang lebih besar, yang melampaui batas-batas etnik asal-usul mereka, dan sekaligus mengidentifikasikan diri ketika berhadapan dengan bangsa-bangsa lain, terutama dari daratan Eropa, Cina, Jepun, Arab, Persia dan India. Dalam realiti sekarang, ada dua kumpulan dominan Melayu di rantau Asia Tenggara ini jika dikaitkan dengan negara, yakni Melayu Malaysia dan Melayu Indonesia. Realiti ini tentu tidaklah menafikan keberadaan kumpulan Melayu di Brunei Darussalam, Siam dan Philipina Selatan.

Penah suatu ketika dalam sejarah, bangsa Melayu di Indonesia di Malaysia dan Kalimantan (Borneo) Utara, bercita-cita untuk merdeka dalam sebuah negara besar di rantau Asia Tenggara ini. Mereka berpikir bukan hanya merdeka untuk tanah Jawa, tanah Bugis dan tanah Minangkabau sahaja, atau merdeka bagi Negeri Johor, Melaka, Trengganu dan lain-lain negeri di Semanjung. Namun mereka sedar bahawa bangsa yang menjajah negeri-negeri mereka memang berbeza: Indonesia dijajah Belanda, sementara Malaya dan Kalimantan Utara dijajah British. Realiti ini tentunya tidaklah mudah untuk menyatukan dua kumpulan masyarakat dengan penjajah yang berbeza itu ke dalam suatu pergerakan kemerdekaan. Keadaan ini terus berlaku, meskipun tentera Jepun telah menghapuskan kekuasaan Belanda dan British. Tentera Jepun mentadbir rantau ini ke dalam satu pentadbirantentera Asia Tenggara yang berkedudukan di Dallat, iaitu di Vietnam sekarang ini.

Kekalahan Jepun keatas tentera bersekutu dalam Perang Dunia II telah menggesa para pejuang kemerdekaan Indonesia untuk segera mengisytiharkan kemerdekaan. Ini berlaku dua hari selepas Jepun menyerah pada 15hb Ogos 1945. Sehari selepas pengisytiharan kemerdekaan pada 17hb Ogos 1945 itu, para pengasas negara Indonesia merdeka masih berdebat mengenai sempadan wilayah Indonesia merdeka, sama ada akan mencakupi seluruh bekas jajahan Belanda dan termasuk negeri jajahan British, yakni Malaya dan Kalimantan Utara, ataukah hanya bekas wilayah jajahan Belanda sahaja. Beberapa hari sebelum itu, Sukarno dalam persinggahannya di Taiping — dekat bandaraya Ipoh — selepas melawat ketua pentadbiran tentera Jepun di Dallat, telah menjanjikan Indonesia dan Malaya akan merdeka bersama-sama dalam satu negara. Namun kehendak Sukarno itu tidak menjadi realiti. Panitia Persiapan Kemerdekaan Indonesia yang bermesyuaratpada 18hb Ogos 1945 akhirnya memutuskan wilayah Indonesia hanya mencakupi seluruh bekas Hindia Belanda, tidak termasuk jajahan British di Malaya dan Kalimantan Utara, dan juga tidak memasukkan tanah jajahan Portugal di Timor Timur.

Selepas menyerahnya Jepun kepada tentera bersekutu, British menjajah semula Malaya dan Kalimantan Utara. Belanda juga mahukan menjajah semula Indonesia, namun mendapat perlawanan selama lima tahun, baik perlawanan dengan senjata mahupun diplomasi. Belanda sendiri akhirnya mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada 27hb Disember 1949. Seluruh dunia akhirnya mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada tahun 1950, selepas ndonesia diterima menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Semenjak itu bangsa Melayu Indonesia telah merdeka, namun bangsa Melayu di Malaya dan Kalimantan Utara masih dijajah British. Perjuangan kemerdekaan Malaya terus bergelora, terutama sejak terbentuknya UMNO pada tahun 1946. Semenjak itu, orang Melayu bersatu ke dalam pertubuhan yang lebih kuat untuk menuntut kemerdekaan. Takkan ada kemerdekaan tanpa diperjuangkan dengan sepenuh hati. Penjajah takkan bermurah hati memberi kemerdekaan tanpa suatu perlawanan.

Hadirin yang saya muliakan,

Sebagai negara pertama yang berjaya memperolehi kemerdekaan selepas Perang Dunia II, Indonesia berkehendak membantu perjuangan bangsa-bangsa Asia dan Afrika untuk merdeka.Oleh itulah,Indonesiadengan serta-mertanya mendukung perjuangan kemerdekaan Malaya. Perdana Menteri Indonesia, Burhanuddin Harahap, menjemput pemimpin perjuangan kemerdekaan Malaya, Tunku Abdul Rahman untuk mengadakan lawatan rasmi ke Jakarta pada awal tahun 1956. Secara tegas PM Burhanuddin menyatakan, Indonesia mendukung sepenuhnya kemerdekaan Malaya dan akan berbuat apapun jua yang diperlukan untuk membantu kemerdekaan Malaya. Malaya akhirnya merdeka dengan nama Persekutuan Tanah Melayu dengan mencakupi Singapura pada 31hb Ogos 1957, namun tanpa menyertakan Serawak, Brunei dan Sabah. Melayu Indonesia yang lebih dahulu merdeka merasa sebagai kakak yang lebih senior. Hubungan kedua negara berjalan sangat baik. Indonesia membantu Malaya dengan mengirimkan guru-guru, teknisi dan doktor dan menjalin perdagangan dua hala yang saling membantu pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara. Ramai pula pelajar-pelajar Malaya yang datang ke Indonesia untuk menuntut di institusi pengajian tinggi. Sebahagian memperolehi biasiswa kerajaan, dan sebahagiannya lagi menanggung pembiayaan sendiri. Di awal kemerdekaan, orang Melayu di Malaysia memang jauh tertinggal di bidang pendidikan, sosial dan ekonomi.

Hubungan Indonesia-Malaya mulai memburuk ketika awal tahun 1960, ketika Presiden Sukarno menjalankan dasar luar negeri yang “anti Neo Kolonialisme dan Imperialisme” yang disingkatnya dengan istilah“Nekolim”. Cadangan untuk menggabungkan Kalimantan Utara dengan Persekutuan Tanah Melayu ke dalam sebuah negara yang lebih besar yang dinamai Malaysia, dilihat Sukarno sebagai bagian dari politik Nekolim. Cadangan itu dilihat Sukarno sebagai bahagian dari strategi British untuk mengekalkan pengaruhnya di Malaysia dan Asia Tenggara. Oleh itulah Sukarno menyebut Malaysia adalah projek Nekolim dan sekaligus sebagai “negara boneka” British. Sukarno yang sampai akhir tahun 1960 masih menghadapi berbagai pemberontakan di daerah-daerah dan menghadapi oposisi di dalam negeri, menjadikan Malaysia sebagai musuh bersama untuk dilawan dan diperangi. Dengan pidato yang berapi-api Sukarno menggesa rakyat menjadi sukarelawan untuk menentang pembentukan Malaysia. Pada masa yang bersamaan, sukarelawan itu juga digunakan untuk merebut Irian Barat, yang ketika itu masih dikuasai Belanda, untuk kembali ke pangkuan Indonesia. Era itu dikenal sebagai era “konfrontasi” dengan Malaysia.

Dalam konfrontasi itu, Sukarno mula menggunakan kata-kata bersifat propaganda untuk merendahkan bangsa Melayu di Malaysia. Kaki-tangannya menyebut istilah-istilah “tentera bergayut” “injak-injak bumi” “askar tak berguna” untuk memperolok-olok tentara Malaysia yang ketika itu memang kekuatannya jauhdi bawah tentera Indonesia. Lima belas tahun selepas kemerdekan, dengan bantuan Soviet Bersatu, tentera Indonesia telah menjadi salah satutentera dengan persenjataan yang terkuat di kawasan Asia. Segala sesuatu yang bekonotasi negatif kemudian dikait-kaitkan dengan Melayu seperti “intel Melayu”, “koboi Melayu” dan “buatan Melayu”. Saya masih ingat ketika tahun 1963 di mana-mana diadakan karnival mengarak-arak patung Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak serta meneriaki kedua-dua beliau sebagai “Boneka Inggris”. Kumpulan politik Indonesia, yang nampak paling bersemangat dalam melaksanakan projek anti Nekolim dan “Ganyang Malaysia” serta “Ganyang Pak Tunku” itu ialah kaum Kominis yang diorganisasikan oleh Parti Kominis Indonesia (PKI). Manakala tokoh-tokoh Islam di Indonesia, khasnya kumpulan politik modenis Islam tidaklah bersetuju dengan projek “Ganyang Malaysia” itu. Mereka tetap menjaga komunikasi sulit dengan Tunku Abdul Rahman. Tentu tak semua rakyat Indonesia suka dengan proyek ganyang Malaysia itu. Sebahagian rakyat di luar Jawa menuduh pemerintah Indonesia bersifat “Jawa Sentris”. Rakyat yang duduk di kawasan sempadan dengan Malaysia sebahagiannya juga tak dapat mengerti mengapa “kita disuruh berperang sesama Melayu” sambil menuduh Sukarno dan orang Jawa “mengadu domba” sesama orang Melayu. Perasaan sebagai “sesama orang Melayu” nampaknya tidaklah pudar dengan merdekanya Indonesia dan Malaysia – dan juga selepas pembentukan Singapura sebagai negara merdeka. Perasaan seperti ini pada hemat saya tetap harus dibina di masa sekarang dan di masa depan. Namun perasaan Melayu itu janganlah dipahamkan dalam makna yang sempit, tetapi dipahamkan dalam perspektif yang luas untuk membangun kebersamaan di kalangan orang Melayu yang kini telah menjadi warganegara dari beberapa negara di rantau Asia Tenggara ini.

Hadirin yang saya muliakan,

Selama Indonesia merdeka, Sukarno memang telah berjaya membangun semangat nasionalisme yang kuat, sehingga mendorong Indonesia tetap bersatu, walau banyak ancaman yang boleh membuatnya terpecah belah. Sukarno juga berkehendak menjadikan Indonesia sebagai pemimpin dari negara-negara dunia ketiga, yang disebutnya sebagai ‘the new emerging forces”, dalammenghadapi dominasi Amerika Syarikat dan Soviet Bersatu. Namun dibalik sukses besar Sukarno membangun persatuan bangsa dan mempertahankan kemerdekaan, suatu realiti yang tak dapat dibantah ialah tertinggalnya pembangunan ekonomi Indonesia selama dua puluh tahun pertama kemerdekaannya. Indonesia adalah negara yang kaya raya dengan sumber alam, kelautan dan pertanian. Namun sumber alam yang kaya raya itu, tidaklah dengan serta-merta akan membuat rakyatnya menjadi kaya raya pula. Sukarno cenderung menolak modal asing yang dianggapnya sebagai bahagian dari politik neo-imperialisme. Syarikat-syarikat swasta yang ada dinasionalisasikan menjadi milik Indonesia, dengan dilandasi semangat ultra-nasionalisme yang besar. Sementara bangsa Indonesia sendiri belum sanggup untuk mengelola kekayaan alam yang banyak itu. Ketika Sukarno jatuh dari kekuasaanna pada tahun 1966 selepas pemberontakan kaum Kominis, sebagian besar rakyat Indonesia hidup dalam kemiskinan dan kemelaratan. Jika ekonomi mundur, maka dampaknya kepada bidang-bidang yang lain dalam kehidupan masyarakat akan terasa, terutama ke bidang pendidikan dan kesihatan serta pembangunan manusia pada umumnya.

Selepas konfrontasi, hubungan Indonesia dan Malaysia membaik semula seperti sediakala. Dua negara ini sama-sama miskin dan terbelakang. Oleh kerana di Malaysia selain daripada bangsa Melayu terdapat pula orang-orang Cina dan India dalam jumlah yang besar, maka taraf kemiskinan dan keterbelakangan orang Melayu itu makin terasa dibandingkan dengan kumpulan yang lain.Meskipun demikian, orang Melayu boleh sedikit berbahagia, kerana dalam Perlembagaan Malaysia, orang Melayu memiliki “hak ketuanan Melayu”. Dengan demikian, orang Melayu mendapat keutamaan dan keistimewaan. Kumpulan lain menerima “keistimewaan orang Melayu” dalam pendidikan, pelayanan kerajaan, kedudukan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama resmi negara dan tentunya Bahasa Melayu sebagai bahasa resmi negara. Rumusan perlembagaan yang demikian, dengan sendirinya menempatkan Malaysia sesungguhnya adalah negara berteraskan Melayu dan negeri orang Melayu. Dalam realitinya orang Melayu di Malaysia berada dalam kedaan serba dhaif di awal kemerdekaan. Ibarat ayam mengais sehari untuk makan sehari, tak terpikirkan untuk persediaan di hari esok. Rejeki secupak orang Melayu tak bertambah menjadi segantang, dengan merdekanya Malaysia di tahun-tahun permulaan kemerdekaan. Pendidikan anak watan Melayupun jauh tertinggal. Keadaan yang lebih kurang sama terjadi pula di Indonesia.

Oleh kerana keberadaan orang Cina dan India tidaklah banyak bilangannya di Indonesia, maka “hak ketuanan Melayu” atau yang serupa dengan itu tak berlaku di negara ini. Sebagaimana telah saya katakan, Indonesia yang multi etnik, sepanjang memeluk agama Islam, akan sama-sama mengatakan diri mereka Melayu ketika berhadapan dengan bangsa-bangsa lain. Agama Islampun yang dianut secara majoriti dengan angka peratusan yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia, tidaklah diisytiharkan sebagai agama resmi negara. Ini bukanlah bermakna bahawa Islam tidak memainkan peranan penting dalam kehidupan politik dan kenegaraan di negara ini. Indonesia baru mula menumpukan perhatiannya dalam pembangunan ekonomi sejak Jendral Suharto memegang kekuasaan pada tahun 1967. Namun semenjak itu pula bermula pentadbiran tentera di negara ini yang berlanjut selama 32 tahun sampai jatuhnya Presiden Suharto tahun 1998. Selepas pengunduran diri Suharto, Indonesia memasuki era baru, yang disebut dengan istilah era Reformasi dengan segala problema baru yang mengikutinya, sepertimana akan saya uraikan nanti di dalam syarahan ini.

Meskpun Indonesia dan Malaysia sama-sama mengalami masa penjajahan yang panjang, namun Malaysia boleh dikata memiliki keuntungan, yakni kerajaan yang relatif stabil, birokrasi yang bekerja secara cermat dan tradisi ketaatan kepada hukum yang diwarisi dari pentadbiran kolonial. Orang Melayu telah dilatih untuk ikut dalam pentadbiran kolonial. Tentera Malaysia tak pernah terbabit ke dalam politik. Supermasi sipil atas tentera dihormati. Keadaan Indonesia memang berbeza. Selama penjajahan Belanda, keterlibatan orang Indonesia dalam birokrasi modern sangatlah sedikit. Birokrasi di Indonesia bekerja sangat lamban, mudah terima sogokan dan rasuah, dan mahu dilayan daripada memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Zaman revolusi dan semangat revolusi yang cenderung meluluh-lantakkan segala apa yang ada, telah membuat orang kurang mematuhi undang-undang. Kemerdekaan Indonesia yang dicapai dengan perjuangan bersenjata, dengan sendirinya membabitkan tentera ke dalam politik. Selain daripada itu, luas wilayah Indonesia yang begitu besar yang terdiri atas ribuan pulau-pulau, disamping juga penduduknya yang besar jumlahnya, menyebabkan pembangunan ekonomi Indonesia menjadi tidak sederhana bila dibandingkan dengan Malaysia. Luas seluruh wilayah Malaysia yang terdiri atas semananjung, Serawak dan Sabah adalah lebih kurang seluas Pulau Sumatera.sahaja. Penduduk Malaysia tidaklah mencapai bilangan sepuluh peratus penduduk Indonesia.

Sebab itulah, meskipun Repelita (Rencana Pembangunan Lima Tahun) yang dijalankan Presiden Suharto sejak tahun 1971 dan berambisi menjadikan Indonesia menjadi negara industri dalam kurun waktu dua puluh lima tahun, tidak menjadi realiti. Secara umum, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) Malaysia yang dilaksanakan semenjak Perdana Menteri Tun Razak, lebih banyak mencapai kemajuan dan memberi harapan bagi rakyat Malaysia. Ekonomi Malaysia tumbuh lebih cepat berbanding ekonomi Indonesia. Perbaikan nasib rakyat di era Presiden Suharto memang terasa dibandingkan dengan era Presiden Sukarno. Namun, ditengah percepatan pembangunan ekonomi itu, timbul masalah baru yakni timbulnya berbagai kepincangan. yakni kepincangan kelompok kaya dengan kelompok miskin, ketimpangan kota dengan desa, dan yang juga sangat penting ialah ketimpangan pembangunan di Pulau Jawa dengan pulau-pulau lainnya. Pembangunan itu tidak mampu mengangkat harkat dan martabat rakyat yang kebanyakannya miskin dan tinggal di kampung-kampung dengan kemudahan yang sangat terbatas.

Sementara sekelompok kecil pengusaha telah tumbuh berkembang menjadi kelompok kaya dengan menguasai sumber-sumber keuangan. Harapan munculnya kelompok kaya yang akan meneteskan rezeki kepada kelompok miskin, tidak terjadi dalam realiti. Ketika negara menghadapi badai krisis kewangan yang menerpa negara-negara Asia pada tahun 1997, kelompok pengusaha kaya ini, khasnya pemilik bank-bank swasta, mendapat bantuan dari Bank Indonesia dengan tambahan pinjaman yang luar biasa besarnya. Sebagian mereka itu tidak mengembalikan pinjaman, sebahagian lagi memanipuasinya, dan bahkan membawanya serta ke negara-negara di luar Indonesia, antara lain. di Singapura. Beberapa dari mereka bahkan telah menanggalkan taraf kewarganagaraan Indonesia dan memperolehi tarafkewarganegaraan Singapura. Indonesia tak berdaya menghadapi Singapura, kerana kedua-dua negara tidak memiliki perjanjian ekstradisi. Kepincangan ekonomi ini telah mendorong kemarahan sebahagian rakyat, sehingga terjadi rusuhan di Jakarta pada bulan Mei 1998 yang sedikit-banyaknya meniupkan sentimen anti orang-orang keturunan Cina di Indionesia, Krisis kewangan telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi Indonesia surut ke belakang. Dilihat dari sudut GNP yang dihitung dengan US dollar, krisis monter telah menyebabkan bangsa Indonesia yang kebanyakannya miskin tiba-tiba menjadi bertambah miskin lagi. Dalam situasi panik, Indonesia menerima bantuan dari Bank Dunia dan Dana Wang Antarabangsa, yang tidak serta-merta pula membuat perekonomian Indonesia menjadi membaik. Di belakang hari Dana Wang Antarabangsa mengakui bahawa mereka silap dalam menetapkan dasardalam memulihkan ekonomi Indonesia yang mengalami kemelesetan akibat kriris wang yang berlaku pada tahun 1997. Namun apa hendak dikata, Indonesia pada akhirnya harus mengatasi masalahnya sendiri dengan membayar biaya krisis yang sangat besar, untuk memulihkan semula ekonomi nasionalnya.

Pembangunan ekonomi Indonesia di masa Suharto yang menimbulkan ekses ketimpangan antara orang kaya dengan orang miskin, semakin menjadi-jadi dengan meningkatnya penduduk dan pencari pekerjaan. Industri hanya tumbuh di Pulau Jawa, sehingga menjadikan pulau ini tempat tujuan perpindahan penduduk dari pulau-pulau lain. DEB Malaysia dimulai dengan pembangunan infrasturktur, industri manufaktur dan perkebunan yang memerlukan banyak tenaga kerja. Orang Melayu Indonesia melihat ada peluang pekerjaan di Malaysia yang susah didapatkan di negaranya sendiri. Maka sejak tahun 1970 gelombang-gelombang migrasi orang Melayu Indonesia, baik legal aupun illegal, mulai berdatangan ke Malaysia. Sikap terhadap pendatang dari Indonesia ini kadang-kadang mendua. Di satu pihak mereka diperlukan karena keterbatasan tenaga kerja di Malaysia dan kehadiran mereka juga dapat memperkuat posisi politik bangsa Melayu, terutama dalam pilihanraya umum. Namun di lain pihak, kehadiran mereka menimbulkan problema-problema sosial dan politik yang baru pula yang kadang-kadang dapat memicuketegangan hubungan antara kedua negara.

Orang-orang Cina Malaysia pada umumnya memandang sinis kehadiran orang Melayu Indonesia ke Malaysia, walaupun para tauke Cina tak jarang memerlukan mereka, bahkan mempekerjakan mereka dengan gaji tidak semestinya, apalagi mereka tergolong sebagai pendatang illegal. Sebahagian tauke-tauke ini dengan bekerjasama dengan ejensi-ejensi pengirim pekerja secara haram di Indonesia, mendatangkan buruh Indonesia agar boleh mereka perlakukan sekehendak hati mereka. Sementara di kalangan orang Melayu Malaysia sendiri, kedatangan orang Melayu Indonesia itu juga tidak selalu menyenangkan, sebab kehadiran ini bisa menjadi pesaing mereka dalam mendapatkan pekerjaan dan juga dibidang perniagaan. Setiap orang Indonesia yang datang ke Malaysia, dengan mudah dianggap sebagai pendatang untuk mencari pekerjaan. Ketika saya menjadi Menteri Kehakiman Indonesia – yang tugasnya hampir sama dengan Menteri Dalam Negeri Malaysia – datang ke Kuala Lumpur, orang Melayu Malaysia di tepi jalan juga bertanya kepada saya apakah saya datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Kehadiran orang Melayu Indonesia tidaklah akan menyaingi orang-orang Cina Malaysia, tetapi bisa menjadi saingan sesama Melayu. Keterlibatan orang-orang Indonesia dalam berbagai jenayah di Malaysia, termasuk pula keterlibatan sekumpulan pekerja Indonesia dalam kerusuhan makin menambah ketidaksenangan itu.

Di kalangan orang Melayu Indonesia, terdapat semacam persoalan psikologis dalam melihat orang Melayu Malaysia. Sebagaimana telah saya kemukakan tadi, propaganda ganyang Malaysia yang dilancarkan Sukarno padaawal tahun 1960, masih membekas dalam kebanyakan orang Melayu Indonesia. Masih banyak anggapan yang menilai orang Melayu Malaysia lebih tertinggal dan terbelakang, tanpa menyadari bahwa kurun waktu tiga puluh tahun telah membuat kedua bangsa ini makin berbeza dari segi kemajuan ekonomi dan sosial. Orang Melayu Malaysia yang dahulu diperolok-olokkan di zaman konfrontasi, dalam masa yang singkat terbukti telah lebih maju dan lebih makmur berbanding Melayu Indonesia. Kalau dahulu banyak guru-guru Indonesia dikirim ke Malaysia dan banyak pula pelajar-pelajar Malaysia datang ke Indonesia, kini tanpa sedari bahawa mutu pendidikan di Malaysia sudah lebih baik dibandingkan dengan di Indonesia. Sekarang lebih banyak orang Melayu Indonesia menuntut ilmu di Malaysia berbanding orang Melayu Malaysia yang menuntut di Indonesia. Orang Melayu Malaysia yang dulu diolok-olok, kini menjadi majikan bagi mereka yang bekerja di negara ini, sementara mereka makan gaji dengan bekerja sebagai buruh pekerja kilang dan pekerja kebun serta konstruksi, atau bahkan pembantu rumah tangga. Situasi psikologis seperti ini tidak mudah dihilangkan begitu sahaja.

Situasi di atas itu dapat berkembang tambah memburuk dengan munculnya pelbagai isyu yang boleh mengganggu hubungan baik Indonesia-Malaysia. Penanganan migrasi orang Melayu Indonesia ke Malaysia kadang-kadang menimbulkan ketegangan hubungan kedua-dua negara. Tindakan beberapa majikan Malaysia yang menganiaya pembantu rumah asal Indonesia, akan segera menjadi berita besar di Indonesia dan mrmbangkitkan semula sentimen perasaan tidak suka kepada Malaysia. Tindakan Polis Diraja Malaysia yang dianggap berlebihan dalam menangani “pendatang haram” dari Indonesia, juga menimbulkan kemarahan sebagian rakyat di Indonesia. Isyu sempadan antara kedua-dua negara seringkali pula menimbulkan ketegangan. Lebih khusus lagi setelah putusan Mahkamah Antarabangsa di Den Haag mengenai status pulau Sipadan dan Ligitan. Di Indonesia masih banyak anggapan bahawa kedua pulau itu telah “diambil” oleh Malaysia dan sebab itu, Indonesia telah kehilangan dua pulau miliknya di Kalimantan Timur.

Padahal semenjak awal status kedua pulau itu memang menjadi sengketa kedua negara, karena ketidak jelasan kepemilikan sejak zaman penjajahan dahulu. Setelah berulangkali gagal merundingkan status kedua pulau itu, maka Indonesia dan Malaysia sepakat untuk membawanya ke Mahkamah Antarabangsa untuk memutuskan siapakah pemilik kedua pulau itu. Tidak ada pihak yang menggugat ataupun menjadi tergugat karena kedua negara sama-sama membawa kasus kedua pulau itu ke Mahkamah Antarabangsa. Apapun keputusan mahkamah, akan diterima oleh kedua pihak. Namun, banyak ketidakpuasan atas putusan mahkamah itu, karena kurangnya maklumat yang disampaikan kepada rakyat. Ahli-ahli politik sebagiannya malah menjadikan isyu ini sebagai senjata untuk menyerang kerajaan. Kes Sipadan dan Ligitan, termasuk pula kes pembalakan haram di kawan Indonesia bersempadan dengan Serawak yang diduga membabitkan tauke-tauke balak Malaysia dan menyelundupkan kayu ke wilayah Malaysia, telah membuat sebahagian orang Melayu di Indonesia menuduh Malaysia ingin mengambil segala apa yang menjadi milik Indonesia. Secara undang-undang antarabangsa, persoalan Sipadan dan Ligitan memang telahpun selesai. Namun peroalan sempadan laut, sebagai implikasi dari dinyatakannya Sipadan dan Ligitan sebagai milik Malaysia sehingga sekarang belum terselesaikan, terutama di Blok Ambalat yang mengandungi sumber minyak dan gas. Masalah ini tergolong sensitif, namun langkah-langkah penyelesaian melalui perundingan dengan semangat persaudaraan, sangat perlu untuk dilakukan, agar tidak membebani jenerasi-jenerasi yang akan datang. Penyelesaian terhadap masalah ini boleh mengurangkan biaya tentera kedua-dua negara yang sehingga sekarang melaksanakan kawalan di kawasan sempadan yang belum disepakati itu.

Perasaan sensitif sebahagian orang Indonesia, bukan saja kerana soal Sipadan dan Ligitan, serta buruh Indonesia di Malaysia, tetapi jugaanggapan bahawa Malaysia ingin mengklaim pelbagai hasil karya seni orang Indonesia sebagai “milik Malaysia”,seperti karya seni batik yang asal-muasalnya dari Indonesia, yang kononnya “dipatenkan” oleh Malaysia, tanpa sebarang pemahaman yang betul mengenai undang-undang hak intelektual. Keadaan ini berterusan dengan pelbagai produk kesenian yang lain, seperti Reog Ponorogo yang dimainkan orang-orang asal Jawa yang telah menetap di Malaysia, dan beberapa lagu lagu Indonesia seperti lagu “Rasa Sayange”, lagu khas dari daerah Maluku. Beberapa media cetak Indonesia memberitakan bahwa lagu telah pula diklaim sebagai milik Malaysia dan dijadikan sebagai lagu untuk promosi pelancongan Malaysia. Padahal penciptaan sebuah lagu tertakluk kepada ketentuan undang-undang hak cipta (copy right) , yang terhad kepada masa tertentu mengikut akta kekayaan intelektual yang berlaku di sebuah negara. Selepas itu masa itu lewat, maka lagu itu telah memasuki wilayah “public domain” yang boleh dirakam dan dinyanyikan oleh sesiapapun juga. Sementara rakyat Indonesiapun dengan leluasa menyanyikan lagu-lagu dari khazanah lama budaya Melayu, seperti lagu “Tudung Periuk” yang berasal dari Melaka dan menganggap lagu itu sebagai lagu Indonesia juga, tanpa sebarang bantahan dari rakyat Negeri Melaka. Keadaan seumpama ini perlu klarifikasi dan penjelasan dari kedua kerajaan, Indonesia dan Malaysia, dan maklumat yang memadai kepada rakyat di kedua-dua negara, Ketegangan tidak perlu berlakui, seandainya ada penjelasan yang memadai, sehingga semua pihak berkenaan dapat memahami hakikat persoalan yang dihadapi bersama.

Terlepas dari isyu Pulau Sipadan dan Ligitan, masalah sempadan Indonesia dengan Malaysia memang harus segera disepakati bersama, berpedoman kepada kaidah-kaidah undang-undang antara bangsa. Komite Bersama Perbatasan Indonesia Malaysia memang terus bekerja secara kontinyu untuk menyelesaikan perbedaan-perbedaan yang masih ada. Keinginan bersama Indonesia-Malaysia untuk menjaga keselamatan di Selat Melaka sangatlah penting bagi kedua-dua negara dan juga keselamatan pelayaran dari Asia Barat ke Asia Timur. Saya melihat ada semangat yang sama dari kedua-dua negara untuk menyelesaikan masalah perbatasan dengan semangat persaudaraan dua bangsa serumpun. Persoalan sempadan kedua-dua negara tidak boleh menjadi penghalang peningkatan kerjasama dan hubungan baik kedua-dua negara. Indonesia dan Malaysia memang memiliki forum konsultasi tahunan, untuk membincangkan masalah-masalah bersama yang dihadapi kedua-dua negara. Saya beberapa kali menghadiri forum itu, yang saya nilai sangat besar manfaatnya untuk membina saling-pengertian dan menyelesaikan masalah bersama yang dihadapi. Forum konsultasi ini lebih spesifik Indonesia-Malaysia, dibandingkan dengan forum ASEAN yang membabitkan seluruh anggotanya.

Hadirin yang saya muliakan,

Kemajuan sosial ekonomi yang dicapai Malaysia dalam kurun waktu dua puluh tahun terakhir, sering membuat orang Melayu mudah lupa. Jenerasi yang lahir dan hidup setelah kemerdekaan, sering lupa bahwa dahulu mereka dijajah dan pendahulunya mereka hidup dalam kemiskinan dan keterbelakangan. Kemajuan yang sekarang dicapai orang Melayu di Malaysia tidaklah akan kekal jika mereka lalaimemberikan jawapan yang tepat menghadapi cabaran-cabaran baru akan datang silih berganti. Krisis kewangan yang terjadi pada tahun 1997 yang membawa dampak buruk bagi kemajuan ekonomi dan stabilitas politik di Asia Tenggara, hendaknya menjadi pelajaran kita bersama. Kelemahan strategi pembangunan ekonomi Indonesia yang melahirkan ketimpangan sosial dan ekonomi, pada akhirnya menggoyahkan stabilitas politik, dan sepertimana telah saya katakan, mendorong Presiden Suharto undur diri dari jawatannya. Dalam situasi yang panik kerajaan Indonesia mengundang Bank Dunia dan Dana Wang Antarabangsa (IMF) untuk “membantu” memulihkan ekonomi Indonesia. Mereka percaya bahwa negara-negara besar yang berada dibalik IMF itu akan dengan sukarelanya membantu Indonesia. Namun sepertimana telah saya kemukakan tadi, IMF melakukan banyak kesalahan dalam memahami situasi Indonesia, entah kesalahan kerana kejahilan atau kerana kesengajaan. Malaysia menempuh jalan yang berbeza, iaitu menolak bantuan Bank Dunia dan IMF, serta berupaya memulihkan ekonomi berasaskan kekuatan sendiri. Semua warganegara yang memiliki wang di luar negara diminta pulang membawa wangnya tanpa sebarang siasatan mengenai asal usul wang itu. Di Indonesia, keadaan serupa itu tidak berlaku. Wang yang ada di Indonesia, malahannya dibawa ke luar negara, termasuk pula – sebagaimana telah saya katakan, wang milik rakyat yang berasal dari BLBI. Semua ini boleh berlaku kerana dasar rezim devisa bebas yang dijalankan kerajaan. Malaysia memang lebih mudah mengatasi krisis kewangan berbandin Indonesia. Krisis kewangan di Malaysia juga tidak menimbulkan akibat langsung ke bidang politik, meskipun kehendak melakukan reformasi juga berlaku di negara ini. Namun kerajaan tetap kuat dan stabil.

Di Indonesia, krisis kewangan telah melahirkan gerakan reformasi yang menuntut perubahan-perubahan besar di bidang sosial, politik dan ekonomi. Reformasi yang dimulai tahun 1998 memang telah merubah situasi Indonesia. Pemerintah yang semula kuat dan dapat mengontrol hampir semua aspek kehidupan sosial, politik dan ekonomi, tiba-tiba menjadi lemah, kerana rakyat memiliki kebebasan untuk menyatakan pendapat dan melakukan demontrasi. Kementerian Penerangan yang semula mengawal pemberitaan dan berwenang memberikan izin dan mencabut izin penerbitan media, mulai lemah peranannya di masa Presiden Habibie. Pada masa Presiden Gus Dur, departemen ini dibubarkan. Presiden Megawati cuba menghidupkan semula kementrian ini dalam bentuk yang baru, yakni Kementerian Komunikasi dan Informasi, namun kerja kementerian ini tidaklah sgnifikan dalam membangun komunikasi kerajaan dengan rakyat. Undang-Undang Pers yang baru menyatakan untuk menerbitkan media cetak, tidak diperlukan lesen dan kebenaran kerajaan.

Media massa tumbuh dan berkembang dengan pesat bagai kulat di musim hujan. Persaingan juga ketat. Sebab itu, di era keterbukaan, apa sahaja menjadi berita. Bukan saja soal-soal politik, tetapi juga soal-soal kehidupan pribadi seseorang dikemukakan terbuka di media massa. “Bad news” benar-benar menjadi “good news” bagi media massa di Indonesia. Ketika undang-undang melemah, seharusnya etika dan kedewasaanlah yang diperkuat dan dikedepankan. Namun rakyat belum cukup dewasa untuk itu. Kebebasan sering diertikan sebagai kebebasan tanpa sempadan. Segala isyu dan rumors dan bahkan bahasa caci-maki, hujat menghujat, pojok-memojokkan menjadi berita yang terdengar dan terbaca setiap hari. Era kebebasan ini, telah membuat orang Melayu Indonesia yang dahulu dikenal dengan kehalusan budi bahasa dan sopan santun, tiba-tiba mengalami perubahan amat radikal. Kerajaan Malaysia hingga kini masih mampu mengawal pemberitaan media. Tidaklah mudah untuk mendapatkan lesen penerbitan media, termasuk membangun stasiun radion swasta. Keadaan serupa ini memang menimbulkan pelbagai kritik, bahawa kebebasan mengekspressikan pikiran dan pendapat dibatasi, suatu hal yang dengan mudahnya dituduh melanggar hak asasi manusia. Sesebuah negara, tentu harus mempertimbangkan segala sesuatunya denganhati-hati, adakah sesuatu itu akan membawa munafaat ataupun membawa mudharat bagi kepentingan negaranya.

Masa awal reformasi di Indonesia juga ditandai dengan munculnya ketegangan etnik yang sedikit banyaknya melibatkan faktor agama juga. Kerusuhan etnik terjadi di Ambon dan Maluku Utara antara kelompok Maluku Kristian dan Muslim, juga di Kalimantan antara etnik Dayak dengan Madura. Konflik Muslim-Kristian berlaku juga d Sulawesi Tengah. Banyak faktor yang melatar-belakangi kerusuhan ini, dan sedikit-banyaknya juga melibatkan unsur agama.Tidak sedikit korban jiwa dan harta benda akibat konflik yang memerlukan waktu cukup lama untuk meredakannya. Terjadinya pelbagai konflik etnik di awal era reformasi menunjukkan kepada kita bahawa Indonesia, negeri berbilang kaum ini, masih menghadapi isyu perpecahan etknik. Namun sebahagian besar isyu itu tidaklah membawa perpecahan negara. Gerakan separatisme di Aceh berja diselesaikan secara damai, walau untuk beberapa tahun lamanya, terjadi konflik bersenjata antara tentera dengan kaum separatis. Timor Timur, yang semula adalah jajahan Portugis dan kemudian bersatu dengan Indonesia, adalah kes yang lain. Pelbagai campur tangan negara-negara lain, di samping kehendak sebahagian para pemimpinnya –khasnya dari kumpulan Fretelin — yang sejak semula tidak mahukan bersatu dengan Indonesia, akhirnya membuat Timor Timur terlepas dari wilayah Indonesia. Malaysia, sejauh ini, mampu mempertahankan kesatuan negaranya. Tidak ada gerakan-gerakan pemisahan diri, sebagaimana berlaku di Indonesia. Rusuhan Mei 1963, telah memberi banyak pelajaran bahawa perpaduan kaum sangatlah penting untuk menjaga keutuhan Malaysia sebagai negara berbilang kaum. Sampai setakat ini, Malaysia masih mampu mencegah meningkatnya ketegangan antar kaum di negara ini.

Perubahan di bidang politik di Indonesia dilakukan dengan meminda perlembagan negara — Undang-Undang Dasar 1945 — yang di masa Presiden Sukarno dan Suharto dianggap telah melahirkan sistem pemerintahan diktator yang terselubung, menuju ke sebuah sistem yang lebih demokratik. Saya termasuk salah seorang yang memelopori perubahan itu. Saya sangat senang ketika judul ceramah saya “Tidak ada reformasi tanpa amandemen konstititusi” dijadikan slogan oleh gerakan mahasiswa di awal reformasi. Saya berkeyakinan bahawa perubahan rezim yang menerajui kerajaan belumlah bermakna apa-apa, manakala sistem politik tidak mengalami perubahan. Rezim yang baru, walaupun di masa awal memiliki idealisme yang tinggi, namun lambat laun rezim baru akan mengulang semula apa-apa yang dibuat oleh rezim lama yang digantikannya. Kekuasaan itu sentiasa menggoda setiap orang yang memegangnya, dan oleh itu mereka akan selalu berusaha untuk mengekalkannya dengan cara apapun juga, sepertimana dijalankan oleh rezim pendahulunya.

Namun empat kali proses amandemen perlembagaan negara, hasilnya jauh daripada memuaskan. Terlalu banyak kepentingan politik bermain dalam proses pindaan perlembagaan itu, sehingga yang dihasilkan adalah suatu sistem pemerintahan presidensial yang potensial membuat Presiden berada dalam posisi yang lemah berhadapan dengan Dewan Rakyat. Sementara Dewan Rakyat sendiri, yangpada awalnya lemah posisinya, telah menjadi kuat setelah pindaan perlembagaan. Sistem multi parti yang berkembang di Indonesia — selepas melalui suatu pelihanraya umum yang demokratik – tidak akan pernah menghasilkan suatu kekuatan majoriti di Dewan Rakyat, sementara Presiden dan Dewan Rakyat harus bekerjsama dalam membahas Rang Undang-Undang, termasuk Belanjawan Negara. Dewan Rakyat juga sentiasa mengawal dasarPrasiden dan pelaksanaannya. Pemilihan langsung oleh rakyat dalam memilih presiden, gabenor, bupati dan datuk bandar telah melahirkan mekanisme politik dengan biaya tinggi dan seringkali menimbulkan ketegangan sosial dan politik di pelbagai daerah. Ini semua membuka peluang berlakunya disintegrasi sosial dan meningkatnya politik wang, rasuah dan sogokan dalam dunia politik.

Pemberantasan rasuah menjadi salah satu program reformasi yang terus dilaksanakan. Sebagai Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia pada tahun 2001, saya bertanggungjawab untuk melakukan amandemen terhadap Undang-Undang Tindak Pidana Korupsi – Akta Pemberantasan Jenayah Rasuah — sehingga menjadi lebih keras dibandingkan dengan undang-undang sebelumnya. Saya juga yang mewakili Presiden membahas rang undang-undang tentang pembentukan Komisi Pemberantasan Tindak Pidana Korupsi – Badan Penyiasat Jenayah Rasuah — sampai komisi itu terbentuk pada tahun 2002. Indonesia juga terlibat aktif dalam menyusun rancangan UN Convention Against Corruption sampai saya menandatangani konvensi itu di markas PBB di New York pada tahun 2003. Upaya pemberantasan rasuah di Indonesia memang telah mencatat banyak kemajuan, walau tentunya masih jauh dari apa yang dicita-citakan. Peringkat rasuah di Indonesia mulai menurun mengikut pelbagai institusi pemerhati rasuah antarabangsa. Di samping sisi positif pemberantasan rasuah, upaya ini membawa implikasi negatif pula, yakni ada semacam kekhawatiran para pejabat pemerintah dalam mengambil keputusan, yang berakibat terganggunya percepatan pembangunan ekonomi dan perkhidmatan awam. Sisi negatif yang lain juga ialah, isyu rasuah tidak jarang pula dijadikan sebagai isyu politik untuk menyerang lawan-lawan politik yang potensial membunuh kepribadian seseorang.

Sejarah politik Malaysia setelah kemerdekaan, menunjukkan kepada kita bahwa sistem parlementer Malaysia mampu menciptakan pemerintahan yang stabil, sepanjang kekuatan-kekuatan politik berhasil membangun koalisi yang solid. Adanya kepemimpinan yang kuat, yang memiliki visi jauh ke depan dan berani mengambil keputusan, walau menentang arus, dalam maupun luar negeri, memang sangat diperlukan untuk memajukan negara. Sebuah negara tidak akan pernah maju kalau pemimpinnya bersikap ragu-ragu, dan mudah menyerah kepada tekanan dari pihak asing. Indonesia dan Malaysia adalah dua negara yang memiliki posisi strategik di Asia, serta memiliki sumberdaya alam dan potensi yang besar untuk berkembang maju, menjadi harimau ekonomi Asia di masa depan, sepanjang para pemimpinnya mampu mendayagunakan segala potensi yang ada guna mencapai kemajuan. Namun kita harus tetap menyedari dan memperhitungkan bahwa akan selalu ada pihak-pihak yang tak menginginkan dua negara Melayu dan Muslim ini menjadi kuat dan besar. Kita menyadari bahwa sejak berakhirnya perang dingin, maka benturan baru terjadi antara Barat dan Islam. Akar ketegangan antara keduanya telah berlangsung sejak berabad-abad silam, karena tak ada kekuatan agama manapun dari Timur yang pernah menjadi tantangan yang sungguh-sungguh dari benua Eropa, kecuali Islam. Kita memang perlu menjawab dan menjelaskan tentang Islam, namun yang jauh lebih penting lagi kita harus menunjukkan bahwa Islam yang menjadi roh orang Melayu mampu membangun kedua-dua bangsa ini melangkah maju ke depan.

Problema yang kini mengedepan di Malaysia, ialah timbulnya keretakan politik di kalangan pemimpin politik Melayu, yang menjadi tulang punggung stabilitas politik Malaysia. Meskipun sekarang, kekuatan politik Melayu terbelah ke dalam tiga kelompok utama, UMNO, PAS dan PKR, namun saya berkeyakinan bahwa keretakan yang kini menjadi tantangan utama, akan terjawab jika ketegangan antar pribadi dapat diredakan dan rakyat, melalui pemilihanrayu umum yang demokratis akan memilih pemimpin yang mendapat dukungan majoriti. Apa yang diperlukan dari pemimpin politik Melayu Malaysia ialah kemampuan untuk menunjukkan kepada rakyat bahwa pemimpin tetap bersatu dalam memandang masalah-masalah bersama, walaupun terdapat pemikiran yang berbeza di antara mereka. Di masa lampau, Allahyarham Tunku Abdurrahman tetap berhubungan mesra dengan orang-orang yang menjadi lawan politiknya. Perbezaan politik, tidak membuat hubungan personal antara para pemimpin politik menjadi renggang. Suasana seperti ini menghendaki adanya penguatan basis etika dalam politik yang dinampakkan dalam sikap seorang negarawan, yang melampaui batas-batas kepentingan politik orang- perorangan, parti politik dan kumpulan.

Hadirin yang saya muliakan,

Situasi keselamatan dalam negeri Indonesia sekarang tentu sudah jauh membaik, berbanding masa awal reformasi. Stabilitas sosial mulai tercipta, walau potensi untuk terjadinya konflik di berbagai daerah tetap ada. Perekonomian nasional mulai membaik, walau jumlah orang miskin dan penganggur tetap saja besar, yakni sekitar 16 persen dari total penduduk. Jumlah ini mugkin akan mengalami kenaikan dengan terjadinya krisis global, yang memperlambat pertumbuhan ekonomi Indonesia. Dalam minggu-minggu terakhir ini, kekhawatiran akan terjadinya pemutusan hubungan kerja di berbagai sektor industri mulai terasa. Ada yang memperkirakan, sekitar dua juta orang akan kehilangan pekerjaan di awal tahun depan, dengan menurunnya ekspor Indonesia akibat melemahnya permintaan pasar antarabangsa. Malaysia juga mengalami hal serupa, yang berakibat makin banyak buruh yang kehilangan pekerjaan. Makin banyak buruh Indonesia yang bekerja di Malaysia yang akan dipulangkan ke Indonesia, yang tentu akan menimbulkan ketegangan baru hubungan kedua-dua negara.

Isyu buruh tetap akan menjadi isyu dalam hubungan Indonesia dengan Malaysia. Kedua-dua negara, dapat mencari jalan keluar mengatasi masalah ini, jika Malaysia mulai melangkah memasuki industri berbasis teknologi tinggi, dan secara bertahap meinggalkan industri manufaktur. Relokasi industri manufaktur Malaysia ke wilayah Indonesia yang berdekatan, secara bertahap akan dapat mengatasi masalah ini. Hal yang sama sebenarnya telah terjadi di bidang perkebunan, ketika pemilik modal Malaysia mulai menanamkan modal di bidang perkebunan di Indonesia. Upaya ini mengurangi migrasi buruh Indonesia untuk bekerja di Malaysia. Buruh Indonesia akan bekerja di tanah airnya sendiri, sementara pemilik perusahaan dan perkebunan itu adalah investor dari Malaysia. Bagi Malaysia, cara ini akan mengurangi masalah buruh migran di Malaysia sendiri. Pembangunan industri dan isyu buruh adalah dua hal yang menjadi kepentingan bersama Indonesia-Malaysia, yang harus dipecahkan bersama dengan semangat persaudaraan dan kerjasama yang saling menguntungkan kedua-dua pihak.

Saya ingin mengakhiri syarahan umum ini dengan ajakan untuk membangun kerjasama yang lebih baik lagi antara kedua-dua bangsa serumpun, Melayu Indonesia dan Melayu Malaysia dalam menghadapi cabaran bersama di masa depan. Mengingat adanya akar persamaan yang kukuh antara kedua-dua bangsa, saya ingin mengatakan bahwa perbedaan negara dan kewarganegaraan, hendaknya tidak menjadi batas pemisah antara Melayu Indonesia dan Malaysia, demikian pula sebaliknya. Kedua bangsa dapat saling bertukar pengalaman dan saling membantu memikirkan masa depan. Indonesia dan Malaysia harus sama-sama kuat di bidang ekonomi, untuk memperkuat sektor-sektor yang lain. Salah satu negara tidak boleh meninggalkan yang lain, melainkan berpikir dalam konteks maju bersama menghadapi persaingan dengan negara-negara lain. Dalam rangka itulah komunikasi dua arah antara rakyat dengan rakyat, antara pemimpin dengan pemimpin tetap harus dijaga. Hubungan baik, bahkan hubungan yang bersifat personal antara pemimpin kedua-dua negara yang berjalan dengan baik, saya yakin akan mampu mengatasi perbezaan-perbezaan yang ada antara kedua-dua bangsa dan negara berjiran dan serumpun.

Demikianlah syarahan umum ini. Kalau ada kesilapan, saya mohon dimaafkan Saya menyampaikan ucapan terima kasih keatas perhatian Saudara-saudara semuanya, khasnya kepada Jabatan Perhubungan Alumni Universiti Sains Malaysia yang telah menganjurkan aktiviti ini.

Wabillahit taufiq wal hidayah,

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pulau Pinang, 18hb Disember 2008

Cetak artikel Oleh Yusril Ihza Mahendra — December 20th, 2008

Tidak ada komentar: